Sejarah Doa Qunut yang sangat menyedihkan

 Kita biasa membaca biasa membaca Doa Qunut. Ini adakah kerana Doa Qunut adakah sunat muakkad yang disarankan untuk melakukannya. Ia juga adalah sunat ab’adh iaitu sunat yang jika kita terlupa untuk buat, kita disunatkan untuk melakukan Sujud Sahwi di akhir solat (sebelum salam). Ini adalah pendapat imam mazhab kita iaitu Imam Syafie. Tetapi tahukah anda sejarah Doa Qunut ini? Apa peristiwa yang berlaku yang menyebabkan Nabi saw membaca doa ini?

Sejarah doa qunut


Sejarah Doa Qunut

Ini adalah sejarah dan asal usul doa qunut. Ia berdasarkan hadith yang agak panjang. Hadith ini diriwayatkan oleh Anas bin Malik:

Dan daripadanya Anas r.a katanya : “Telah datang rombongan kepada Rasulullah s.a.w suatu rombongan daripada orang-orang Arab Badawi datang menemui Nabi s.a.w. (Rombongan ini merupakan rombongan daripada ahli Najd, iaitu penduduk pedalaman semenanjung tanah Arab yang dikenali dengan Riyadh). 

Mereka terdiri daripada orang-orang Badawi. Mereka diketuai oleh Abu Ubara’ datang kepada Nabi s.a.w dan berkata hantarkan bersama kami beberapa orang yang boleh mengajar kami akan Al-Quran dan Sunnah. 

Lalu Nabi s.a.w menghantar kepada mereka seramai 70 orang lelaki dalam kalangan Ansar dikenali dengan ahli Qurra’ iaitu mereka yang membaca dan mengaji Al-Quran.

Dalam kalangan mereka, bapa saudara aku (bapa saudara Anas r.a, adik beradik kepada ibunya) Haram Bin Milham yang mana mereka ini membaca Al-Quran, mempelajari di waktu malam dan mengajinya dan adalah mereka itu di waktu siang datang mengangkut air dan mereka meletakkan air itu di masjid dan mereka mencari kayu api dan mereka menjualnya dan membeli dengannya akan makanan dan diberi kepada ahli Sufah (orang-orang faqir dan tidak ada keluarga yang tinggal di serambi rumah Nabi s.a.w seperti Abu Hurairah) dan orang-orang faqir. 

Maka Nabi s.a.w menghantar mereka (menghantar golongan Qurra’) yakni kepada orang Badawi. Lalu mereka itu (orang-orang Badawi yang kafir itu) telah melakukan terhadap mereka maka membunuh mereka sebelum mereka sampai ke tempat yang dituju lalu mereka berkata sebelum dibunuh : ”Ya Allah Ya Tuhan kami, sampaikan berkenaan kami kepada Nabi kami sesungguhnya kami telah menemui-Mu dan kami redha kepada-Mu dan Engkau redha kepada kami” dan datang seorang di kalangan musuh kepada Haram (bapa saudara Anas) dari belakangnya lalu menikamnya dengan tombak sehingga menembusinya. Lalu Haram berkata : ”Aku telah berjaya demi Tuhan Kaabah”. 

Maka bersabdalah Rasulullah s.a.w : “Sesungguhnya saudara-saudara kamu telah dibunuh dan sesungguhnya mereka telah berdoa : “Wahai Tuhan kami, sampaikan berkenaan kami kepada Nabi kami sesungguhnya kami telah menemui-Mu dan kami redha kepada-Mu dan Engkau redha kepada kami, Wahai Tuhan kami”. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim, dan ini lafaz Muslim) - hadith sejarah doa qunut.

Baca juga: ceriita sebalik mannekin pis

Huraian hadith tentang sejarah Doa Qunut:

Hadith tentang peristiwa menyayat hati ini iaitu sejarah Doa Qunut yang menyedihkan, berkisar tentang ahli Qurra’ (Qari-Qari Al-Quran dan mereka yang tahu hukum agama). Mereka ini seramai 70 orang daripada kalangan Ansar telah dihantar oleh Rasulullah s.a.w kepada satu qabilah Arab di Najd.

Qabilah Arab ini sebenarnya datang kepada Rasulullah sebelum itu dengan tujuan untuk menipu dan bukan untuk masuk Islam. Mereka berpura-pura bahawa mereka telah masuk Islam dan berkata wahai Rasulullah, “hantarlah kepada kami guru-guru untuk mengajar kami”.

Dengan itu Rasulullah menghantar 70 orang ahli Qurra’ ini. Sewaktu di pertengahan jalan, belum pun sampai ke destinasi, secara tiba-tiba mereka telah diserang oleh orang kafir laknatullah. Ahli Qurra’ ini telah diperangkap oleh Qabilah Arab Badawi. Qabilah ini bukan mahu memeluk Islam tetapi mahu menipu untuk membunuh sahabat-sahabat radhiyallahu ‘anhum.

Mereka yang diperangkap ini terdiri daripada sahabat-sahabat yang mengaji bersama dengan Rasulullah s.a.w di waktu malam hari dan di waktu siang mereka mencari kayu api dan menjualnya untuk membeli makanan untuk diberikan kepada ahli Sufah (orang-orang faqir dan miskin yang tinggal di serambi rumah Nabi s.a.w).

Mereka juga mengangkut air dan diletakkan di masjid untuk dijadikan air wudhu’ oleh mereka yang datang ke masjid. Mereka ini merupakan orang-orang yang baik dan mulia. Allah telah memilih mereka untuk mati syahid secara tiba-tiba..!

Sebelum mereka dibunuh, sempat mereka berdoa kepada Allah Ta’ala dengan doa (antara yang berdoa itu ialah Haram Bin Milhan, bapa saudara Anas r.a) : “Ya Allah Ya Tuhan kami, sampaikan berkenaan kami (berita yang berlaku kepada kami ini) kepada Nabi kami sesungguhnya kami telah menemui-Mu dan kami redha kepada-Mu dan Engkau redha kepada kami”.

Ketika mereka sedang berdoa, datang seorang kafir lalu menikam Haram dari belakang sehingga tembus dadanya. Sebelum menghembuskan nafas terakhir haram berkata : “Demi Tuhan, aku telah berjaya”. Haram gembira kerana mati syahid. 

Berita ini kemudiannya dibawa oleh Malaikat Jibril ke madinah dan menyampaikannya kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w sangat sedih dan menangis apabila menerima berita ini.

Salah seorang dari ahli Qurra’ dibawa ke Mekah dan diserahkan kepada golongan Musyrikin Mekah lalu dihiris dengan pisau dan dijadikan upacara oleh Musyrikin Mekah lalu mereka mempersendakan bagaimana kalau kami memberitahu kepada Muhammad kamu diseksa. Kata sahabat itu : “Aku tidak rela Muhammad kena duri, lebih baik aku dibunuh.”

Seorang pemimpin kafir yang masuk Islam sesudah itu menceritakan peristiwa ini : “Aku tidak pernah tengok seorang yang kasih kepada seorang yang lain sebagaimana sahabat Muhammad kasih kepada Muhammad s.a.w sehingga rela mati daripada Muhammad kena duri apatah lagi dibunuh.” 

Ketika dihiris, sahabat ini mengatakan bahawa dia telah mencapai kebahagiaan sebagaimana yang telah dijanji oleh Allah Ta’ala dan dijanji oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w telah menerima berita ini daripada Malaikat Jibril.

Disebabkan peristiwa itu, Rasulullah telah mengarahkan dan mengajak sahabatnya berqunut dan bermula itulah qunut dibaca dalam solat Subuh.

Inilah kisah asal usul sejarah Doa Qunut yang dibava oleh kita pada hari ini.

Sumber: Doa Qunut


Post a Comment

0 Comments